Monday, July 6, 2009

Berbohong Secara Kompulsif

KANAK-KANAK berbohong. Inilah satu kenyataan yang perlu dihadapi oleh kebanyakan ibu bapa. Tiada arahan atau galakan diperlukan.
Berbohong seakan sudah sebati dalam jiwa sesetengah kanak-kanak. Memperbesarkan masalah, memutar-belitkan kebenaran, mereka cerita dan menafikan kenyataan adalah antara yang akan dilakukan sewaktu bercakap bohong.
Namun, jika kekerapan seseorang anak berbohong menjadi kompulsif dan tanpa sebab, ibu bapa mungkin perlu 'campur tangan'.
Apabila kitaran penipuan bermula, ia akan menghilangkan kepercayaan orang lain terhadap si anak, sekali gus menyukarkan kitaran tidak sihat ini dihentikan.
Oleh sebab itulah, ibu bapa perlu bertindak meneroka sebab anak berbohong dan perlu mencari jalan penyelesaian untuk memperbaiki tabiat buruk itu.
Mungkin ramai yang tidak tahu berbohong juga adalah petanda awal kepada masalah yang lebih serius.
Berbohong cara kompulsif biasanya dikaitkan dengan penderitaan anak ekoran gangguan masalah sosial pada peringkat awal. Khasnya akibat penyakit Gangguan Hiperaktif dan Kurang Daya Tumpuan (ADHD) dan gangguan perilaku.
Dalam sesetengah kes, tabiat berbohong secara kompulsif turut disertakan dengan masalah kelakuan yang lain. Ini termasuk mencuri, ponteng sekolah, bersikap ganas, agresif dan kemahiran bersosial yang lemah.
Masalah seperti ini biasanya bercambah daripada rasa tidak selesa dalam situasi bersosial, bertindak secara spontan dan tidak menumpukan perhatian.
Apabila berlaku situasi seperti ini, penglibatan pakar-pakar kaunseling misalnya, amat penting untuk membantu kanak-kanak ini. Kaunselor-kaunselor dapat menolong melengkapkan ibu bapa dengan gaya mendidik serta pemahaman terhadap anak yang lebih spesifik.
Mengapa berbohong?
Terdapat beberapa sebab mengapa kanak-kanak bercakap bohong secara kompulsif.
Takut
Perasaan takut adalah pendorong biasa untuk seseorang memberanikan diri berbohong. Takut dimarahi ibu atau takut kebebasan yang diberikan akan dirampas. Ketakutan yang rasional atau tidak juga boleh memberi kesan pembohongan serupa. Sebab apa yang diimpikan oleh anak hanyalah 'perlindungan' sementara daripada hukuman.
Namun, terdapat dua perkara penting di sini. Pertama, anak yang berbohong besar kemungkinannya tahu mereka telah melakukan sesuatu kesalahan. Kedua, ibu bapa perlu menerima pembohongan itu kerana anak sememangnya takut berdepan dengan reaksi mereka.
Tidak hairanlah apabila teriakan bertalu-talu, sikap pemarah dan ibu bapa yang terlalu melindungi anak membuatkan mereka ketakutan. Memberi peluang untuk berkompromi dan mendengar sebelum menyalahkan anak membolehkan komunikasi dua hala berlangsung.
Tabiat
Kata orang, semakin kerap kita mempraktikkan sesuatu, semakin mudahlah ia bertukar menjadi satu tabiat. Begitu juga dengan bercakap bohong. Pembohongan berulang biasanya diperkukuhkan dengan pendekatan yang agresif. Salah satu kaedah paling efektif untuk menyelesaikan pembohongan berkala adalah memberi peluang kepada anak untuk menarik balik kata-kata bohong itu. Ini harus dilakukan tanpa rasa takut akan akibat yang bakal dihadapinya.
Meniru
Sebahagian besar anak 'terpanggil' untuk berbohong setelah melihat orang lain melakukannya. Dilema yang dihadapi oleh ibu bapa adalah mampukah mereka melindungi anak daripada berbohong. Seandainya sukar untuk ibu bapa mengawal anak daripada meniru pembohongan di luar rumah, maka buangkanlah tabiat berbohong anda terlebih dahulu. Lebih berkesan jika mereka tidak meniru tabiat berbohong di rumah dan menjadikannya tabiat.
Terdapat beberapa perkara yang perlu ibu bapa pertimbangkan sebelum menjatuhkan hukuman ke atas kesalahan anak.
1. Hukuman sememangnya direka untuk mengurangkan perilaku yang teruk. Masalahnya, hukuman tanpa kasih sayang dan arahan yang betul adalah sia-sia. Dalam sesetengah situasi, hukuman pula menyumbang kepada tindakan melampau dan penderaan.
2. Menghukum anak atas pembohongan yang berobjektifkan ketakutan atau akibat meniru bukan satu kaedah efektif dalam jangka masa panjang. Sebaliknya, mengenal pasti punca masalah adalah lebih praktikal berbanding berdepan dengan simptom-simptomnya.
3. Hukuman patut dijadikan pilihan terakhir dan bukan dilakukan mengikut emosi. Penggunaan bahasa dan pendekatan yang lebih lembut biasanya lebih berkesan. Beritahu anak dalam nada rendah seperti, "Tahu tak, mak dan ayah rasa kecewa apabila Atan berbohong?"
Yang penting, ketahuilah niat setiap ibu bapa adalah untuk melihat anak bercakap benar. Justeru, gunakanlah pendekatan yang lebih baik agar anak belajar daripada kesilapannya.
nnn Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web http://webhome.idirect.com/~readon/lies.html.

Trauma Mangsa Jenayah Asid

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
saphilla.isa@kosmo.com
Kes jenayah asid semakin meningkat hari ini. Mengapakah ia sering menjadi pilihan suspek yang cemburu dan iri hati? Adakah masih ada harapan untuk mangsa kembali hidup normal?

KHODEZA Begun masih lagi trauma mengingati peristiwa lapan tahun lalu, apabila beliau dan anak perempuannya disimbah asid oleh seorang penyerang yang tidak dikenali ketika sedang tidur di rumahnya.
"Cecair asid tersebut menghakis permukaan kulit muka saya agak teruk dan kepala anak saya.
"Malangnya, saya tidak dapat sebarang pembelaan daripada polis atau mahkamah bagi mengenalpasti pesalah terbabit," kata wanita berumur 30 tahun yang menutupi wajahnya dengan sehelai selendang merah akibat kecacatan kesan simbahan asid yang mencacatkan wajahnya.
Khodeza mendedahkan peristiwa hitam dalam hidupnya itu pada satu persidangan ulang tahun yang ke-10 Pertubuhan Mangsa Asid (ASF) di Dhaka, Bangladesh baru-baru ini.
ASF, polis dan mangsa-mangsa serangan asid mengatakan, kebanyakan kejadian simbahan asid yang berlaku di Bangladesh adalah disebabkan keengganan mangsa melakukan hubungan seks.



Ini kerana, kebanyakan mangsa tergolong di kalangan wanita muda. Selain itu, permintaan mas kahwin yang tinggi daripada keluarga atau perebutan tanah juga adalah salah satu sebab kejadian seumpama itu berlaku.
Kejadian yang meninggalkan ketakutan dan psikologi trauma pada mangsa tidak dapat dielakkan.
Pengelola persidangan itu memberitahu, ramai mangsa seperti Khodeza dinafikan keadilannya. Ada sesetengahnya, hanya memencilkan diri dan juga dipulaukan keluarga akibat kesan parut yang melekat di wajah mangsa.
"Saya bernasib baik kerana suami tidak meninggalkan kami anak beranak walaupun keadaan kami seperti ini.
"Berbeza dengan nasib kebanyakan mangsa asid yang ditinggalkan kerana wajah mereka yang hodoh dan cacat," kata wanita yang berasal dari daerah selatan Satkhira, Bangladesh itu.



Justeru apakah perkara pertama yang boleh dilakukan apabila seseorang terkena simbahan asid?
Profesor Taufiq Yap Yun Hin dari Fakulti Sains Jabatan Kimia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, menjelaskan tindakan segera dengan mencurahkan air yang banyak pada kawasan yang terkena asid amat penting.
Ini kerana, asid adalah sejenis sebatian kimia yang terkenal dengan sifat masam dan menghakis.
Jelasnya, asid dalam bentuk pepejal tidak begitu kuat berbanding asid dalam bentuk cecair yang sangat cepat menghakis.
"Terdapat asid lemah dan asid kuat. Ia juga disebut sebagai asid organik dan asid mineral.



"Asid organik banyak terdapat dalam industri pemakanan, manakala asid mineral ialah asid yang kuat dan terdiri daripada asid sulfurik yang sangat mudah menghakis," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui baru-baru ini.
Lelaki berketurunan Cina itu memberitahu, satu petunjuk mudah yang dapat menentukan keasidan sesuatu sebatian ialah dengan menggunakan meter pH.
"Jika buka penutup botol yang mengandungi asid dan ia berasap, itu menandakan nilai pHnya terlalu tinggi. Kebanyakan asid jenis tersebut digunakan oleh suspek untuk mencederakan mangsa sehingga kecederaan kronik.
"Ini kerana, cecair tersebut boleh menghakis bukan sahaja permukaan epidermis (lapisan paling luar kulit yang terletak pada lapisan atas dermis).
"Malah, ia juga boleh ke peringkat dermis (lapisan kedua kulit yang mempunyai ketebalan kira-kira 0.25 milimeter ke 2.55 milimeter daripada kulit), jika tiada tindakan segera diambil," tegasnya.


Persoalannya, bagaimana penyimbah asid memperoleh cecair tersebut dengan begitu mudah?
"Sebenarnya bahan tersebut mudah diperoleh daripada industri kimia. Kegunaan utama adalah dalam penghasilan baja (ammonium sulfat).
"Bahan itu juga digunakan dalam pembuatan kimia seperti asid hidroklorik, asid nitrik dan pelbagai lagi.
"Bukan itu sahaja, cecair asid juga digunakan di dalam industri petroleum untuk membersihkan bahan asing," kata penyelaras Pusat Kecemerlangan Sains dan Teknologi Katalisis, Fakulti Sains UPM tersebut.
Trauma emosi
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Kemanusiaan dan Pembangunan Fakulti Psikologi, UPM, Prof. Dr. Haslinda Abdullah memberitahu, mangsa simbahan asid bakal mengalami trauma mahupun kecelaruan emosi berpanjangan (posttraumatic stress disorder (PTSD).
"Kebiasaannya ia berlaku selepas seseorang itu berdepan dengan tragedi dalam kehidupan mereka.
"Ia berkemungkinan trauma yang sangat menakutkan, mengancam nyawa atau membahayakan individu terbabit," katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Jelasnya, kebanyakan mangsa akan merasai kembali trauma. Individu tersebut dapat merasakan seolah-olah trauma tersebut berlaku kembali terhadap dirinya.


Ini termasuk mengalami mimpi ngeri, atau imbasan tentang trauma yang sentiasa menyelubunginya.
"Apa yang penting, masyarakat sekeliling terutamanya keluarga dan rakan-rakan sentiasa memberikan sokongan.
"Bantu mereka menghadapi trauma tersebut dengan baik. Jangan pula masyarakat mencemuh atau meminggirkan mereka kerana ia boleh mendatangkan kesan yang lebih teruk," katanya.
Sementara itu, pakar bedah kosmetik salah sebuah klinik swasta, Dr. Nini Sutina Nordin pula memberitahu, jika kecacatan tersebut tidak dibaiki, ia akan menyukarkan pesakit dan menyebabkan mereka berasa tertekan dengan persepsi masyarakat.
"Terdapat dua jenis pembedahan iaitu pembedahan kosmetik dan pembedahan rekonstruktif.
"Pembedahan kosmetik bertujuan memperbaiki bentuk struktur wajah yang normal bagi meningkatkan tahap keyakinan dan harga diri.
"Pembedahan rekonstruktif pula bertujuan untuk memperbaiki bentuk wajah dan fungsi tubuh yang cedera akibat kemalangan atau kecederaan, penyakit dan kecacatan kelahiran," katanya.



Tegasnya, ia akan memberikan mangsa peluang untuk menjalani hidup yang normal tanpa dipandang rendah oleh orang ramai.
Ia juga akan memberikan mereka peluang untuk bergaul dan diterima oleh komuniti.
Namun, Nini memberitahu pembedahan rekonstruktif yang dilakukan juga memerlukan doktor melihat tahap keseriusan kesan simbahan asid tersebut.
"Ia kemungkinan memerlukan bukan sekali dua pembedahan sahaja malah, pesakit juga harus menerima hakikat bahawa mereka mungkin tidak boleh pulih sepenuhnya," katanya.
Di Malaysia kebanyakan kes jenayah melibatkan simbahan asid berpunca daripada perasaan tidak puas hati, cemburu dan hasad dengki.
Antara kes yang paling klasik dan mendapat liputan luas media adalah kes seorang wanita, Siti Khalifah Sulong, 57, yang menyimbah asid ke muka suaminya Tuan Azman Tuan Ludin, 35, yang sedang tidur selepas suaminya menyatakan hasrat mahu berkahwin lagi.
Kes itu sangat sensasi mungkin disebabkan jarak umur pasangan terbabit selain tahap kecederaan teruk yang dialami Tuan Azman dan keputusan bakal isteri kedua Tuan Azman yang kemudian menukar fikiran menolak perkahwinan itu.
Siti Khalifah yang mengaku bersalah mencederakan Tuan Azman dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada tahun 2006.

LELAKI PALING KERDIL DI DUNIA






DENGAN ketinggian kira-kira 61 sentimeter, Khagendra Thapa Magar hanya perlu menunggu empat bulan lagi untuk diisytiharkan sebagai lelaki paling kerdil di dunia.

Tidak sabar-sabar menanti hari ulang tahun kelahirannya yang ke-18 Oktober depan, Khagendra dan keluarganya sudah menjalin hubungan dengan Guinness untuk mengambil alih secara rasmi gelaran itu daripada He Ping Ping dari China yang setinggi 74 sentimeter.

Bagaimanapun, Khagendra yang seberat 4.54 kilogram seolah-olah sudah menjadi selebriti di negara kelahirannya, Nepal.

Tokoh politik turut ghairah untuk melihat Khagendra diiktiraf sebagai lelaki paling kerdil di dunia. Penduduk kampungnya pula menggelarnya ‘Buddha kecil’.

Dia dilahirkan 17 tahun lalu di daerah Baglung, 200 kilometer dari Kathmandu, ibu negara Nepal. Sejak kecil lagi keluarganya dapat berasakan dia akan menjadi terkenal dan berjaya dalam hidup walaupun kerdil.

“Ketika dilahirkan, beratnya hanya 600 gram,” kata ibunya, Dhana Maya Thapa Magar, 33.

“Ia seperti melihat anak ayam yang keluar dari telur yang baru menetas. Saya mengaku pada mulanya saya malu dan tidak mahu keluar rumah. Namun kini hanya kebanggaan yang tersemat di hati saya dan begitu mengharapkan dia dinamakan lelaki paling kerdil di dunia.”

Walaupun punca kekerdilannya tidak pernah disahkan secara perubatan, namun doktor di Nepal yang memeriksa Khagendra percaya ia disebabkan oleh kelenjar pituitari yang tidak berfungsi. Jika tidak kerana masalah itu, dia dianggap sihat.

Sementara itu, keluarganya mewujudkan Yayasan Khagendra Thapa Magar untuk mempromosi usahanya bagi diisytiharkan lelaki paling kerdil di dunia.

“Dia sudah terkenal di seluruh Nepal dan India,” kata bapanya, Rupp Abrader Thana Magyar, 36.

“Dia menyertai kumpulan tarian dan menjelajah ke beberapa tempat supaya orang boleh melihatnya. Dia melakukannya beberapa kali setahun dan kini kami berharap dia akan disahkan sebagai lelaki paling kerdil.”

Menurut ibu bapanya, Khagendra berhenti membesar tahun lalu dan mereka menjangka ketinggiannya akan kekal seperti sekarang.

“Walaupun dia kecil, kami tetap bangga dengannya,” kata Rupp.

Jika dia mengambil alih gelaran itu, Khagendra akan menggantikan tempat Ping Ping yang kini berusia 20 tahun dan menetap di wilayah Guade, China.

Khagendra memohon kepada Guinness pada 2006 ketika dia berusia 14 tahun, tetapi permohonannya ditolak kerana masih di bawah umur.

“Kami sudah menanti tiga setengah tahun. Hanya tinggal empat bulan sebelum impian itu tercapai. Ketika menemui Menteri Luar, Sujata Koirala baru-baru ini, dia berjanji untuk menyokong hasrat kami,” kata Rupp.

Khagendra yang menghadapi masalah untuk bersandar, baru-baru ini memasuki tadika di kampungnya untuk belajar menulis dan membaca.

“Saya tinggal di sekolah dan belajar lima hari seminggu. Pada hujung minggu, saya pulang ke kedai buah-buahan ayah saya di Pokhara dan membantu mereka berniaga,” kata Khagendra.

Mengenai kegemarannya, Khagendra berkata, dia minat menonton rancangan karate di televisyen ketika di rumah dan menanam impian untuk menjadi penari paling terkenal di dunia sedikit masa lagi.

Sejak mula mendapat tumpuan hampir empat tahun lalu, dia terbabit dengan pelbagai publisiti yang bertujuan mendapat pengiktirafan rasmi daripada Guinness.

“Sebaik saja saya dinobatkan sebagai lelaki paling kerdil, saya akan dapat memenuhi impian untuk melawat Amerika Syarikat. Saya boleh pamerkan tarian saya dan juga tunjukkan kecekapan saya dalam karate,” kata Khagendra.

Walaupun perkembangan mentalnya tidak sama dengan rakan seusianya, Khagendra masih mempunyai perasaan terhadap gadis cantik.

“Satu daripada perkara yang paling menyeronokkan ketika mengikuti kumpulan tarian ialah saya boleh melihat gadis di Kathmandu.

“Mereka sungguh cantik dan pakaian mereka juga jauh berbeza dengan pakain gadis di kampung saya,” katanya.